z
Datuk Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR- Ahli lembaga pengarah FGV Holdings Bhd. (FGV) mengumumkan peletakan jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad hari ini.

“Lembaga Pengarah mengumumkan dengan perletakan jawatan Datuk Zakaria Arshad bermakna pergantungan tugas beliau bermula 13 September lalu berakhir.

“Siasatan forensik seperti yang dinyatakan dalam kenyataan pada 28 Ogos 2018 akan diteruskan dan dijangka boleh dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini,” kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia hari ini.

Tambahnya, operasi FGV diteruskan seperti biasa dengan Jawatankuasa Khas Lembaga Pengarah 2 yang terdiri daripada empat ahli lembaga pengarah iaitu Pengerusi Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, Datuk Dr. Salmiah Ahmad, Dr. Mohamed Nazeeb P. Alithambi dan Datin Hoi Lai Ping akan meneruskan tugas sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

Sebelum ini, FGV melakukan siasatan audit forensik ke atas enam transaksi dan keputusan pelaburan yang dibuat dan mendapati kumpulan itu kepada kerugian kewangan yang signifikan.

Daripada enam transaksi itu, empat telah selesai siasatan.

Ia termasuk transaksi berjumlah RM628 juta membabitkan pembelian Asia Plantation Ltd (APL) pada tahun 2014 dan pelaburan FGV Cambridge Nanosystems Ltd. dan pembelian kondominium mewah The Trioka.

Selain daripada enam transaksi itu, FGV berkata, Lembaga Pengarah syarikat perladangan tersebut juga telah melakukan siasatan dalaman ke atas enam perkara lain yang diletakkan di bawah tiga kategori.

Yang pertama adalah berkaitan dengan kredit terbuka, amalan perdagangan pembelian yang lemah dan jualan minyak sawit yang teruk hingga mengakibatkan hutang lapuk sekitar RM100 juta.

Kategori kedua berkaitan dengan perolehan langsung kontrak perolehan, yang disifatkan melanggar amalan korporat yang terbaik dan kategori ketiga pula membabitkan kekurangan buruh antara Mei 2016 dan April 2018, menyebabkan kerugian kewangan melebihi RM170 juta.-MalaysiaGazette