Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti kandungan lain selain metanol dalam minuman keras yang mengakibatkan 19 orang maut sehingga kini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata siasatan pihaknya kini lebih menjurus kepada menyiasat tahap kandungan metanol dalam minuman alkohol itu di mana sampelnya dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh (MKAK) untuk ujian analisis.

Katanya pihaknya tidak menolak kemungkinan kandungan metanol dalam minuman itu adalah tinggi, namun ia hanya boleh disahkan selepas selesai ujian analisis tersebut.

“Kita kena buat siasatan selanjutnya…Walaupun ada brand (jenama), kita kena siasat kandungan metanol dalam jenama minuman alkohol tersebut.

“Sekarang kita kena pastikan kandungan apa dalam minuman alkohol yang membawa maut. Salah satu kandungan dikenal pasti adalah metanol,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan persidangan ‘Western Pacific Cataract Surgical Outcome Conference’ di Hospital Shah Alam di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan 19 mangsa disyaki maut akibat keracunan metanol setakat pukul 5 petang.

Beliau berkata pihaknya menerima notifikasi bagi 51 kes keracunan metanol, masing-masing 45 kes di Selangor dan enam kes di Kuala Lumpur, dengan tiga mangsa terdiri daripada rakyat tempatan dan 48 mangsa dari Myanmar, Nepal, Bangladesh dan India.

Katanya selain 19 kematian yang dicatat, 14 pesakit kini dalam keadaan kritikal, sembilan pesakit dimasukkan ke wad untuk rawatan dan pemerhatian, manakala sembilan individu dibenarkan pulang setelah menjalani rawatan.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar menjauhi daripada mengambil sebarang minuman beralkohol yang mungkin mengandungi metanol yang mendatangkan masalah kesihatan dengan tanda-tanda dan gejala seperti sesak nafas, sakit perut, loya atau muntah, cirit-birit, pening atau sakit kepala teruk, kabur penglihatan dan kekejangan serta boleh mengakibatkan maut.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya baru menerima spesimen dari kes keracunan metanol itu dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa dua hari selepas selesai siasatan.

– BERNAMA