Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR –  Setakat hari ini hanya Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman sahaja yang meninggalkan parti, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Pengesahan itu sekaligus menafikan desas-desus kononnya ada seramai 17 pemimpin parti itu akan mengambil tindakan yang sama.

Namun Annuar berkata, keputusan Mustapha keluar parti hanya diketahui menerusi laporan berita apabila menerima surat rasmi daripada Anifah sahaja yang diterima.

“Tidak ada, dua ini sahaja. Tok Pa tidak ada beri surat, cuma saya baca dalam kenyataan media. Hanipa dia fax surat pagi tadi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Terdahulu Annuar hadir pada Mesyuarat Biro Politik UMNO yang membincangkan bajet alternatif parti pembangkang.

Tambah Annuar, perkara itu telah dijangka berdasarkan masalah yang dihadapi oleh kedua-dua mereka.

Bagaimanapun selain alasan Anifah yang diketahui umum, Annuar enggan menjelaskan masalah yang dihadapi oleh Mustapha yang akhirnya mengakibatkannya nekad meninggalkan UMNO.

“Kedua-dua ini bukan perkara yang mengejutkan kerana kita tahu dua-dua kita tahu ada permasalahan tersendiri, Anifah dalam konteks politik di Sabah, Tok Pa pula dalam konteks masalah yang hanya dia boleh beri penjelasan dan orang lain tidak terlibat.

“Dalam politik kita tahu perkembangan tertentu, yang berlaku, siapa hadapi masalah. Setakat ini kawan-kawan yang meninggalkan parti, sedikit sebanyak kita tahu masalah yang mereka hadapi.” katanya.

Terdahulu Mustapha mendakwa UMNO telah lari daripada perjuangannya mengakibatkan Ahli Parlimen Jeli itu mengambil keputusan untuk meninggalkan parti.

Anifah pula dipercayai ada kaitan dengan janjinya semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 yang beliau akan meletakkan jawatan jika gagal menunaikan janji untuk mengembalikan hak rakyat Sabah seperti mana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.-MalaysiaGazette