Azlan Man

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man hari ini menafikan khabar angin bahawa beliau akan keluar UMNO.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu menegaskan beliau akan terus kekal dalam UMNO dan menerajui pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional di Perlis.

“Jika ada khabar angin mengatakan saya akan keluar UMNO itu adalah tuduhan liar dan salah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Taman Kemajuan di sini, hari ini.

Mengulas tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang mengisytiharkan keluar parti, Azlan berkata pendirian mereka harus dihormati dan yakin kedua-dua dua tokoh itu mempunyai alasan serta pertimbangan sendiri untuk berbuat demikian.

“Masih ramai lagi kekal dalam parti dan melihat bahawa UMNO merupakan satu wadah dan saya percaya kita boleh kukuhkan kembali UMNO untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Mungkin ada faktor tertentu yang mendorong mereka mengambil keputusan untuk keluar parti,” katanya

Sementara itu, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim turut menegaskan tiada keperluan untuk beliau keluar parti, namun tidak menafikan kemungkinan akan ada lebih ramai anggota parlimen akan meninggalkan parti itu.- BERNAMA