Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan UMNO atau mana-mana komponen Barisan Nasional tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini.

KUALA LUMPUR – Pimpinan dan ahli-ahli UMNO di semua peringkat diminta bertenang, berlapang dada dan terus yakin serta memberi kepercayaan kepada pimpinan parti dalam berdepan dengan tindakan pemimpin keluar parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memandang serius perkara itu mengakui kesal dengan tindakan yang diambil oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman.

Namun, beliau menerima dan menghormati keputusan yang diambil oleh Ahli Parlimen Jeli dan Kimanis itu.

“Kita ucapkan selamat maju jaya. Semoga jalan pilihan mereka akan memberi kepuasan buat diri mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Meskipun begitu, Ahmad Zahid berkata, apapun alasan mereka, tindakan tersebut adalah tidak wajar, apatah lagi Mustapa dan Anifah dipilih sebagai wakil rakyat atas kepercayaan yang UMNO berikan.

“Meletakkan alasan kelemahan parti kerana agenda peribadi sesuatu yang tidak wajar dilakukan,” tambahnya.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar UMNO.
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar UMNO.

Ahmad Zahid berkata, meninggalkan UMNO ketika parti sedang diuji, bukanlah sikap terpuji dan boleh diteladani. Malah, Islam mendidik kita agar taat selagi tidak menyalahi syarak.

Beliau berharap isu ini tidak melemahkan dan melumpuhkan UMNO kerana parti itu memerlukan ahli-ahli yang setia untuk terus hidup.

Pelbagai usaha dilaksanakan oleh UMNO untuk mengukuhkan kembali keyakinan dan kepercayaan ahli serta rakyat kepada idealisme perjuangan UMNO.

UMNO tetap dengan asas perjuangan bagi memastikan keadilan sosial dan nilai kesejagatan dikekalkan sejajar dengan faktor kemajmukan Malaysia.

Parti itu, katanya, tetap menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera serta hak semua kaum di negara ini.

“Selagi wujud sokongan ramai UMNO akan terus berjuang dalam apa keadaan sekalipun, biarpun situasi mencabar ketika ini.

“Biarlah yang setia kepada semangat perjuangan sahaja yang tinggal bersama UMNO. Dengan itu, parti dan segala rancangannya akan lebih mudah ditadbir serta berjalan dengan baik.

“Kepada semua pimpinan dan ahli parti, kita mesti terus kekal bersatu padu dan bersama memastikan parti kekal relevan dalam landskap politik yang kian mencabar.

“UMNO ini sebuah perjuangan. Ini mesti diteruskan bersama para pejuang parti yang istiqamah dalam perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta. Andalah mata rantai perjuangan yang panjang,” ujarnya. – MalaysiaGazette