Seorang kanak-kanak yang kekurangan zat dirawat di sebuah klinik di bandar Amran. foto Save the Children

YAMAN – Kenaikan harga makanan dan penurunan nilai mata wang Yaman meletakkan risiko lebih ramai keluarga di negara itu mengalami kebuluran.

Lebih-lebih lagi dengan ancaman daripada pertempuran sekitar bandar pelabuhan Hudaydah yang menjadi pintu masuk kebanyakan bantuan.

Badan kebajikan, Save the Children berkata, sejumlah 5.2 juta kanak-kanak di Yaman kini kelaparan.

Yaman telah dihancurkan oleh konflik yang semakin meningkat sejak awal tahun 2015, ketika pemberontak Houthi merampas sebahagian besar barat negara itu dan memaksa Presiden Abdrabbuh Mansour Hadi melarikan diri ke luar negara.

Keadaan semakin tidak menentu apabila pemberontak Houthi dilihat sebagai proksi Iran, kini ditentang oleh Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan tujuh negara Arab lain yang campur tangan dalam cubaan memulihkan kerajaan.

Peperangan itu menyebabkan guru-guru dan kakitangan awam bekerja tanpa menerima gaji yang betul dengan sesetengahnya tidak mendapat gaji hampir dua tahun.

Dalam keadaan sekarang, harga barangan makanan lebih mahal 60 peratus berbanding semasa awal peperangan. – MalaysiaGazette