Armand Azha
Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPURĀ – Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman yang mengumumkan keluar UMNO digesa mengosongkan kerusi parlimen yang dimenangi mereka pada pilihan raya lalu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, kedua-dua bekas veteran parti itu perlu berbuat demikian bagi memberi laluan kepada pemimpin lain dan dipilih semula oleh pengundi.

“Anda boleh keluar (parti) tapi anda perlu serah balik jawatan ahli parlimen untuk dipilih oleh rakyat.

“Sama ada anda boleh kekal jadi ahli parlimen atau sebaliknya bergantung kepada rakyat dan akar umbi UMNO di kawasan itu memilih pemimpin lain.

“Sebagai pemimpin muda dalam UMNO, saya minta terutama kedua-dua mereka untuk melepaskan jawatan ahli parlimen mereka,” katanya pada sidang media selepas dialog aktivis muslim bandar di sini hari ini.

MGF19092018_VOICEOUTMUSLIMBANDAR_03
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha berasma aktivis dan NGO pada sesi Voice Out Aktivis Muslim Bandar di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 19 SEPTEMBER 2018.

Beliau mengulas tindakan Mustapa selaku ahli Parlimen Jeli dan Anifah, ahli Parlimen Kimanis yang mengumumkan keluar UMNO kurang 24 jam lalu.

Armand Azha juga memberi amaran sama kepada mana-mana ahli Parlimen UMNO yang berhasrat lompat parti agar meninggalkan kesemua jawatan khususnya mandat yang diberi oleh rakyat sebelum ini.

“Mana-mana pemimpin yang melompat daripada UMNO kita minta mereka melepaskan jawatan mereka kerana anda telah dipilih kerana parti anda, bukan kerana individu atau diri sendiri,” katanya.

Katanya lagi, tidak wajar keluar parti namun mahu kekal menjadi ahli Parlimen sedangkan kemenangan mereka diperolehi daripada titik peluh jentera parti dan akar umbi.

“Kalau nak keluar parti kena letak jawatan, bukan bawa sekali bila keluar parti UMNO dan tetapi masih ahli Parlimen.

“Mana mungkin ketika anda dipilih menjadi ahli parlimen dipilih oleh penyokong parti. – MalaysiaGazette