Abdul Rashid Asari

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor mendakwa terdapat taktik kotor digunakan oleh sesetengah pihak untuk mewujudkan pertembungan kurang sihat antara parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di tengah-tengah kehangatan pemilihan PKR tahun ini.

Pengerusi PPBM (atau Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata parti itu mengambil pendirian tegas tidak mahu dikaitkan dengan isu pemilihan PKR yang sedang berlangsung atas dasar hormat-menghormati antara anggota parti komponen Pakatan Harapan Selangor.

“Di samping itu, PPBM Selangor menyuarakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor,” katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp.

Abdul Rashid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan Selangor mendakwa terdapat usaha kotor untuk mencemarkan nama baik Amirudin selaku menteri besar menjelang pemilihan PKR. – BERNAMA