Datuk Seri Jamal Md Yunos
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos. foto SYAFIQ AMBAK, 11 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan UMNO di saat parti itu bergelut meneruskan kelangsungan hayatnya di negara ini disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada lebih tiga juta ahlinya.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menegaskan, Mustapa tidak sewajarnya menghukum UMNO hanya selepas empat bulan bergelar pembangkang berbanding 40 tahun beliau dalam parti itu.

“Pemimpin ini sudah mengecapi nikmat hidup mewah, disanjung dapat jawatan jadi menteri dan sebagainya, kaya raya daripada perjuangan UMNO, sokongan akar umbi tapi akhirnya mengkhianati UMNO itu sendiri.

“Bagi saya apa yang dilakukan oleh Tok Pa ini adalah satu pengkhianatan kepada parti. Saya yakin dan percaya ahli-ahli UMNO di bawah masih lagi bersemangat malah yakin bahawa UMNO itu sebuah parti perjuangan.

“Kegagalan UMNO bukan disebabkan perjuangan ahli-ahli UMNO tetapi kerana sesetengah pemimpin UMNO itu sendiri,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, lewat malam semalam.

Beliau mengulas tindakan Mustapa selaku Ahli Parlimen Jeli dan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang mengumumkan dirinya keluar daripada parti Melayu itu berkuatkuasa semalam.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, keputusan diambil selepas melihat usaha-usaha bagi memulihkan kepercayaan dan imej UMNO yang disertainya sejak 40 tahun itu semakin sukar.

Jamal juga mendakwa tindakan Mustapa menyalahkan UMNO tidak selari dengan perjuangannya hanyalah satu alasan semata-mata untuk menerima habuan daripada pihak tertentu yang giat membeli wakil rakyat parti itu.

“Perbuatan Tok Pa menyalahkan UMNO lari daripada prinsip perjuangan itu hanya satu alasan untuk beliau mendapat tawaran-tawaran daripada kerajaan hari ini.

“Mereka lari kerana ada kepentingan peribadi, ditawarkan ada imbuhan-imbuhan yang tertentu sebab itu mereka lari,” tegasnya.

Dakwa Jamal lagi, tindakan membeli ahli-ahli Parlimen UMNO apabila menyedari kedudukan parti Tun Dr Mahathir Mohamad kian terancam selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim diumum bakal bertanding di Parlimen Port Dickson.

“Saya yakin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan hanya 13 kerusi Parlimen sekarang berasa bimbang kedudukan mereka apabila Datuk Seri Anwar bertanding di Parlimen Port Dickson.

“Ada beberapa orang tengah telahpun dipilih oleh Tun Mahathir untuk berjumpa dan menarik (keluar) ahli-ahli Parlimen daripada UMNO bagi menawarkan sesuatu.

“Saya berharap pemimpin dan ahli-ahli Parlimen daripada UMNO memikirkan perjuangan daripada menerima tawaran oleh pihak di sebelah sana untuk menyertai PPBM dan menjadi pengkhianat.

Jamal turut mempersoalkan Mustapa yang berdiam diri ketika presiden parti sebelum ini, Datuk Seri Najib Tun Razak diserang dengan pelbagai tohmahan dan fitnah berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Apabila Pakatan Harapan (PH) menang dengan menaburkan fitnah, janji, tipu dan sebagainya, tetapi di manakah pemimpin-pemimpin UMNO macam Tok Pa?

“Kalau kita lihat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), di mana Tok Pa apabila presiden dan UMNO diserang? Tiada satu suara pun Tok Pa.

“Kegagalan UMNO hari ini kerana beliau tiada ketika UMNO diserang sehingga rakyat dan ada dalam kalangan ahli-ahli UMNO percaya dengan fitnah PH,” katanya. – MalaysiaGazette