Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof diiringi Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail ketika hadir pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan di Dewan Muktamar, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Semua hakim Mahkamah Syariah di negara ini diminta menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diluluskan sebelum membenarkan pasangan bawah 16 tahun berkahwin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, pihaknya telah mengeluarkan SOP yang diluluskan pada Persidangan Hakim-Hakim Syarie kepada semua Mahkamah Syariah kira-kira dua bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, hanya Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mematuhi SOP itu, manakala Kelantan tidak menggunakannya sehingga tercetus isu dua pasangan bawah 16 tahun berkahwin bawah umur.

“Kalau hakim Mahkamah Syariah di Kelantan menggunakan SOP ini, kejadian perkahwinan bawah umur yang berlaku di Gua Musang dan Tumpat di Kelantan baru-baru ini dapat dielakkan.

“Penat para hakim menyiapkan SOP ini, yang kemudian telah diluluskan dalam Persidangan Hakim-Hakim Syarie dua bulan lalu. Saya telah tengok dan bersetuju ia dijadikan SOP di semua Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1440 peringkat Wilayah Persekutuan di Dewan Muktamar, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kompleks Pusat Islam di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Ketua Pengaraj Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail.

Menurut Dr Mujahid, SOP itu adalah bertujuan untuk mengetatkan pengecualian perkahwinan bagi lelaki dan perempuan berumur bawah 16 tahun.

Katanya, jika mereka bawah umur hendak berkahwin, mesti mendapat izin daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu, berbanding sebelum ini keizinannya agak longgar.

“Melalui SOP ini, sebelum para hakim hendak memberi izin, mereka harus berpandukan kepada peraturan baharu yang telah ditetapkan kira-kira dua bulan lalu.

“Salah satu yang disebut dalam SOP itu ialah ‘kemiskinan bukan alasan’. Contohnya, pasangan bawah umur itu hendak berkahwin kerana miskin, itu bukan alasan untuk membolehkan mereka yang bawah 16 tahun ini berkahwin.

“Kita tahu alasan kemiskinan itu akan disalahgunakan sehingga membawa kepada eksploitasi bukan untuk berkahwin, tetapi lebih kepada memuaskan nafsu,” ujarnya.

Beliau berharap, selepas ini semua hakim Mahkamah Syariah termasuk di Kelantan mematuhi SOP berkenaan kerana ia dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kehakiman Syariah.

“Kepada para hakim Mahkamah Syariah, tolonglah ikut prosedur ini dan mereka ada hak untuk menolaknya kalau mengikut prosedur itu,” katanya.

Dr Mujahid turut mencadangkan akan mengkanunkan SOP itu menjad enakmen perkahwinan supaya semua hakim dapat mematuhinya sebagai syarat wajib bagi proses perkahwinan bawah umur.

Katanya, syarat wajib pasangan lelaki dan perempuan layak berkahwin ialah masing-masing berumur 18 tahun. – MalaysiaGazette