Profesor Dr Jayum Anak Jawan

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin UMNO hilang arah tuju selepas parti itu kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Ekoran itu, parti dilihat menuju kehancuran meskipun UMNO masih merupakan pilihan utama orang Melayu di Semenanjung.

UMNO merupakan parti yang menguasai kerusi Parlimen berbanding Parti Keadilan Rakyat, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Amanah Negara.

Profesor Politik dan Kerajaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Jayum Anak Jawan berkata, meskipun usaha parti itu mencari rakan sekutu untuk cuba kembali ke puncak kuasa namun ia tidak akan membawa hasil.

Katanya, walaupun langkah tersebut mungkin akan membawa kejayaan, UMNO akan berganding dengan parti daripada kedudukan yang lemah.

“Ia (UMNO) bukan akan menjadi tonggak (tiang utama) tetapi pelangkap untuk memboleh parti sekutu berkenaan bertahan atau mendapatkan kuasa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan UMNO sekarang.

Dr Jayum tidak menolak peluang UMNO kembali ke zaman keagungannya mungkin menjadi tipis apabila pemimpin sederhana dan boleh diterima masyarakat seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan parti itu.

“Umum tahu UMNO adalah parti Melayu tetapi pemimpin utama parti berkenaan perlu mempunyai pandangan luas dan boleh diterima masyarakat berbilang etnik Malaysia kerana apabila mereka menjadi kerajaan, mereka akan memerintah ke atas semua, bukan sahaja orang Melayu.

“UMNO memerlukan pemimpin baharu dan berwibawa. Malangnya, pemilihan pemimpin utama parti itu beberapa bulan lalu gagal menonjolkan mereka yang diperlukan untuk membawa pembaharuan kepada parti berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, masa depan UMNO – sama ada hancur atau bangkit semula – di atas tangan orang Melayu.

“Orang Melayu sahaja yang boleh dan mampu melakukan demikian. Namun, orang Melayu yang diperlukan oleh UMNO, perlu juga boleh diterma oleh masyarakat berbilang etnik kerana Malaysia mempunyai ragam yang perlbagai yang perlu dilayan oleh pemimpin.

“Perdana Menteri Malaysia mestilah berketurunan dan dari parti Melayu,” ujarnya. – MalaysiaGazette