.
Datuk Seri Idris Haron.

KUALA LUMPUR – Teka-teki Datuk Seri Idris Haron akan keluar daripada UMNO sejak semalam nampaknya tidak benar.

Ini kerana menurut sumber rapatnya, bekas Ketua Menteri Melaka tidak akan mengkhianati UMNO seperti dipetik daripada Melakakini hari ini.

Menurut sumber itu, Idris yang juga Ketua Menteri Melaka ke-10 itu tidak akan mengikuti jejak  bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Dia (Idris) tak akan tinggalkan UMNO, jiwa dia dah serasi dengan parti dan dia tak akan khianat.

“Lagi pun, masih ada dua lagi bekas Ketua Menteri di Melaka, Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Rahim Tamby Chik,” kata sumber yang sama.

Dalam pada itu, menurut sebuah portal berita tempatan memberitahu, Idris semalam masih berteka-teki terhadap situasi berkenaan.

“Tunggu dulu, masih ada tiga orang bekas Ketua Menteri di Melaka,” kata Idris.

Idris sebelum ini pernah meluahkan rasa kecewa terhadap sebahagian segelintir pucuk pimpinan UMNO ketika ini kerana didakwa gagal mencapai kesepakatan selepas mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu selepas menyaksikan Melaka gagal mempertahankan kedudukan selaku kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Malah beliau pernah mempersoalkan tindakan pucuk pimpinan parti negeri itu yang mempertikaikan pelantikannya sebagai ketua pembangkang negeri walaupun telah dipersetujui presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Setakat ini, dua tokoh UMNO telah mengumumkan keluar dari parti iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman.- MalaysiaGazette