penyokong
Penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas dibenarkan masuk oleh pihak polis. foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Keadaan menjadi kecoh di pekarangan pintu masuk utama ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini setelah lebih 100 penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berpuas hati apabila disekat daripada memasuki mahkamah.

Mereka mula bertelingkah dengan pengawal keselamatan dan polis selepas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dibenarkan memasuki mahkamah untuk menghadiri kes pendakwaan bekas Perdana Menteri sebagai sokongan solidariti.

Polis mula mengerahkan 100 anggota pasukan Tindakan Ringan atau Light Strike Force untuk mengawal keadaan.

Tidak lama selepas itu Ismail Sabri dibenarkan memasuki mahkamah diikuti Datuk Lokman Noor Adam dengan syarat mereka berkumpul secara aman.

Setakat ini keadaan terkawal tanpa kejadian tidak diingini.

Najib bakal menghadapi 25 pertuduhan yang manan empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) – Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA). – MalaysiaGazette