Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan di Dewan Muktamar, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mendapat penghormatan daripada Bosnia untuk merasmikan Festival Halal anjuran negara itu minggu depan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof, beliau akan bertolak ke Bosnia mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerima jemputan khas daripada kerajaan itu.

Katanya, dengan jemputan itu, hubungan Malaysia dan Bosnia kembali memahat sejarah lama dalam peristiwa peperangan Serbia yang membunuh umat Islam di negara itu.

“Malaysia antara sebuah negara di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir ketika itu telah mengambil anak-anak Bosnia tinggal di Malaysia. Mereka belajar di sekolah kita dan kemudian masuk universiti kita (UIAM).

“Dengan itu mereka melihat Malaysia sebagai satu negara yang dihormati, bukan sahaja memberi perlindungan kepada rakyat mereka, tetapi menjadi sebuah negara Islam contoh di sebelah Eropah.

“Sebagai tanda terima kasih, kerajaan mereka menjemput Perdana Menteri untuk hadir dan sekali gus melancarkan (merasmikan) Festival Halal yang menjadi acara tahunan negara itu,” katanya.

Kata Dr Mujahid, beliau telah diminta oleh Tun Dr Mahathir atas kapasiti Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk mewakilinya bagi kerajaan Malaysia hadir dan berasa teruja kerana pengiktirafan yang diberikan oleh Bosnia.

“Lawatan ini melibatkan pertemuan pemimpin Bosnia dan agensi Islam yang mana mereka juga pernah menyatakan hasrat untuk mengambil pengalaman Lembaga Tabung Haji bagi menguruskan jemaah haji mereka.

“Saya menjemput Tabung Haji, kalau ada peluang mungkin boleh pergi sekali supaya kita boleh bawa pakej modul Malaysia ke sana,” katanya. – MalaysiaGazette