MOHAMAD Sabu bergambar dengan delegasi Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) diketuai presidennya, Zaini Hassan yang mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memuji sumbangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berjaya melahirkan alumni yang berketrampilan dan berjaya.

Beliau yang juga bekas pelajar Institut Teknologi MARA (ITM) pada tahun 1974 berkata, pada zamannya walaupun ada antara pelajarnya tidak tamat belajar namun mereka akhirnya akan berjaya dalam kerjaya masing-masing.

“Saya amat kagum dengan para pemimpin terdahulu mewujudkan ITM dan UiTM sehingga melahirkan begitu banyak alumni yang berjaya di negara ini,” kata beliau semasa menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) di kementeriannya hari ini.

Kunjungan seramai 15 anggota itu diketuai oleh Presiden PAUiTM, Datuk Zaini Hassan.

Mohamad juga memuji Pengetua ITM pada masa itu, Tan Sri Arshad Ayub yang bertindak sebagai seorang ‘ayah’ terhadap para pelajarnya.

“Saya sendiri pernah ditahan dalam lokap di Klang semasa demostrasi pelajar pada tahun 1974, tetapi saya dijamin keluar oleh ITM. Selepas dibebaskan, Pak Arshad Ayub memanggil saya ke pejabatnya, saya menggigil kerana ingat akan dimarahi tetapi sebaliknya saya dinasihati bagaikan seorang anak,” katanya yang pada masa itu mengikuti pengajian dalam bidang teknologi makanan.

Dalam twitter Mohamad Sabu, beliau menulis “Bertemu dengan Dato’ Mohd Zaini Hassan, Presiden Persatuan Alumni UiTM dan rakan-rakan. Terkenang semasa lalu saya semasa menjadi penuntut UiTM. Terima kasih atas kunjungan.”

Delegasi yang sama sebelum ini mengunjungi ke pejabat Menteri Kerjaraya, Baru Bian dan timbalannya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir.

Zaini dalam kunjungan itu turut menerangkan mengenai fungsi dan peranan dijalankan oleh PAUiTM serta yayasan Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) yang digerakkan oleh para alumni universiti itu.- MalaysiaGazette