Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Nor Adam (tengah) bersama penyokong melaungkan kata-kata semangat semasa mengadakan himpunan solidariti di perkarangan Ibu Pejabat Sururanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 19 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Ketua Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Adam mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin berada dalam lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam lagi esok.

Ujarnya, pendakwaan keatas Najib hanya akan dijalankan pukul jam 3 petang dan ini akan menyukarkan langkah membayar ikat jamin sekiranya diputuskan oleh mahkamah.

“Esok Najib akan dibawa ke Mahkamah Jalan duta jam 3 petang, maknanya bila Najib didakwa esok, kita tidak akan ada peluang untuk jamin. Maknanya beliau kena tidur satu malam lagi dalam lokap,” katanya ketika mengadakan himpunan aman di perkarangan Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu turut mempersoalkan niat sebenar penahanan Najib hari ini.

“Kenapa perlu tahan Najib diwaktu hampir tamat tempoh bekerja sehinggakan pihak peguam tidak boleh mengambil sebarang tindakan untuk membolehkan Najib dijamin dan sebagainya.

“Ini nampak jelas bahawa ada arahan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Shukri Abdul. Apa perlunya ditahan pada hari ini sedangkan pendakwaan esok bukan di waktu pagi?,” soalnya.

Lokman mengetuai kira-kira 50 penyokong bekas Perdana Menteri berhimpun di hadapan perkarangan ibu pejabat SPRM malam tadi.

Himpunan aman itu bermula jam 9 malam dengan dihadiri kira-kira 50 orang penyokong Najib.

Rata-rata mereka mempersoalkan penahanan Najib di SPRM hari ini.

Ini kali kedua Najib ditahan SPRM ekoran kes siasatan terhadap SRC Internasional dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib ditahan oleh SPRM berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

SPRM dalam satu kenyataan awal hari ini memberitahu, penahanan itu dibuat pada petang ini pukul 4.13 petang di Ibu Pejabat SPRM.

“Najib akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah  Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

“Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 September ini, pukul 3 petang untuk pertuduhan di mahkamah,” kata suruhanjaya itu.

Suruhanjaya itu berkata, SPRM juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merakam percakapan Najib sebelum beliau dibawa ke mahkamah esok bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. -MalaysiaGazette