Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – UMNO menjemput Pas untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 yang akan berlangsung pada 29 dan 30 September.

Kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa lagi, parti itu turut menjemput parti-parti pembangkang lain untuk turut serta dalam persidangan kali ini.

“Pada kali ini, semua parti pembangkang juga katanya dijemput hadir termasuklah Pas dan kita tunggu pengesahan kehadiran mereka,” katanya ketika sidang media Taklimat PAU di sini hari ini.

Pas, kata Annuar secara lisan telah mengesahkan kehadiran mereka. 

Dalam pada itu, menurut beliau,  PAU 2018 kali ini akan berlangsung dengan lebih terbuka untuk liputan media termasuk sesi perbahasan.

Tambahnya, lebih kurang 6,000 perwakilan yang akan terlibat termasuah daripada Puteri, Pemuda dan Wanita UMNO selain Kelab UMNO dari luar negara.

“Selain itu, kita akan membuka ruang liputan termasuk siri-siri perbahasan, ia tidak akan jadi perhimpunan eksklusif dan tertutup dan menjadi satu persidangan terbuka termasuk kepada rakan-rakan media.

“Seramai 6,000 perwakilan yang melibatkan perwakilan perhimpunan agung, Pemuda, Puteri, akan mengambil bahagian turut serta kelab UMNO dari luar negara, dan mahasisiwa nasional turut sertai persidangan kita ini,” ujarnya.

Muktamar Pas baru-baru yang berlangsung di Terengganu menyaksikan sejarah apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa barisan kepimpinan parti itu hadir buat julung kalinya.-MalaysiaGazette