Mustapha Mohamed. foto ADIB AIMAN ROSLI, 23 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan pihaknya telah memanggil anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi memberi keterangan berhubung dana yang diterimanya untuk parti.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki menegaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali.

“Tidak, ia hanyalah adalah dakwaan palsu,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Hari ini, sebuah stesen radio Inggeris tempatan melaporkan seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, yang mendakwa bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO yang dikenali sebagai ‘Tok Pa’ itu telah disoal siasat oleh SPRM berhubung dana yang diterima untuk kegunaan parti.

Selain itu, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa juga membuat dakwaan bahawa Mustapa disiasat polis berhubung satu dana politik.

Pada Selasa lepas, Mustapa yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengumumkan keluar daripada parti yang disertainya lebih 40 tahun lepas berikutan pendekatan UMNO yang tidak lagi selari dengan prinsip politik diperjuangkannya selama ini.- BERNAMA