Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Nor Adam bercakap kepada media semasa mengadakan himpunan solidariti di perkarangan Ibu Pejabat Sururanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 19 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Lokman Noor Adam berkata, punca utama bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan parti adalah ekoran ditekan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin.

Dakwa Lokman, Daim telah memberikan kata dua kepada Mustapa agar meninggalkan UMNO atau beliau akan didakwa di mahkamah mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Selepas 120 hari kerajaan PH ditubuhkan, kenapa tiba-tiba hari ini Datuk Mustapa Mohamad meninggalkan kita?

“Beliau telah ditekan dan disoal siasat oleh SPRM selama tiga hari dan akhirnya Tun Daim telah beri kata dua sama ada beliau mahu keluar parti atau pendakwaan ke atas diri beliau akan diteruskan,” dakwanya ketika mengetuai himpunan aman mengutuk penahanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi.

Mustapa atau lebih dikenali dengan Tok Pa bertindak keluar parti atas alasan hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya.

Keputusan itu dibuat beliau selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu, malam semalam. -MalaysiaGazette