Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.132 Port Dickson di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2018
Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan menggunakan sebarang jentera kerajaan dalam tempoh berkempen tidak lama lagi.

Katanya, beliau selaku Presiden PKR hanya akan mengarahkan jentera di peringkat parti bagi membantunya memenangi PKR Port Dickson untuk memudahkan laluannya beliau ke Dewan Rakyat.

“Ada program diaturkan oleh kementerian Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) diadakan sebulan awal terpaksa dibatalkan.

“Sebabnya kita tak mahu dilihat guna kemudahan kerajaan.

“Saya tegaskan bahawa kita tidak mahu menggunakan kemudahan dan jentera kerajaan dalam PRK. Saya mahu mereka (pemimpin PH dalam Kabinet) sebagai pemimpin parti sahaja,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Dalam pada itu, Anwar berkata kepimpinan PKR akan menentukan keputusan sama ada untuk menerima sokongan yang diberikan oleh pemimpin UMNO.

“Kita kena sopan dan saya calon kita tidak mahu nampak angkuh, aku tidak peduli kamu siapa, kamu musuh, tidak boleh buat macam tu.

“Siapa nak sokong saya terima kasih tapi platform parti mesti diputuskan parti.

“Orang yang jadi calon bebas dan nak sokong saya, saya sebagai calon siapa pun nak bagi sokongan kita sambut baik tapi cara mesti diputuskan oleh PKR,” katanya lagi.

Anwar mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Arau, Tan Sri Shahidan Kasim yang menyatakan sokongan secara terbuka terhadap Anwar untuk bertanding di PRK Port Dickson. – MalaysiaGazette