Nazman Che Ibrahim
Nazman Che Ibrahim

TRAGEDI arak beracun yang meragut 23 nyawa kelmarin, harus menjadi titik tolak kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menolak penggunaan minuman keras itu dalam kehidupan seharian.

Terutama kepada pihak kerajaan Malaysia Baharu, inilah masanya meminda polisi dan peraturan berkaitan yang selama ini dilihat begitu ‘mesra’ arak.

Perkara ini bukan baharu, tragedi seumpama ini telah banyak dilaporkan di seluruh dunia dan antara terdekat ialah Indonesia, apabila 36 maut di Jawa Tengah kira-kira dua tahun lalu.

Malah pernah terjadi dalam masa dua minggu, seramai 90 maut di Jawa Barat dan Timur Papua akibat meminum arak tercemar.

Islam sejak 1,400 tahun lampau telahpun mengharamkan arak atas pelbagai keburukan dan kerosakan berimplikasi dari pengambilannya.

Maka, dengan tragedi yang berlaku perlu dilihat secara serius terhadap malapetaka arak terhadap umat manusia untuk ditangani secara komprehensif.

Rekod dan kajian turut membuktikan, pengambilan arak telah menyebabkan punca kepada kejadian kemalangan jalan raya, pergaduhan dan pertengkaran.

Malaysia juga pernah menyaksikan peristiwa hitam rusuhan kaum di Taman Medan, Petaling Jaya suatu ketika dahulu yang tercetus daripada pengambilan arak.

Lebih menakutkan, natijah pengambilan arak berpanjangan sehingga kepada perlakuan jenayah seperti pembunuhan, rogol dan cabul serta tidak sedikit keganasan rumah tangga.

Tiada yang menggembirakan melainkan ianya manifestasi kejayaan taikun-taikun dan pemegang saham industri arak antarabangsa menjana keuntungan.

Namun, di sebalik data kemusnahan moral dan norma masyarakat ini, kerajaan kita masih berterusan dan tanpa rasa bersalah turut mengaut hasil dari industri arak.

Apakah kerajaan Malaysia Baharu tidak mahu membuat penelitian hukum kerana masih membenarkan pengimportan arak selain memberi lesen jualan dan mengambil cukai?

Menurut Pengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda Pas Malaysia, Nazman Che Ibrahim, rakyat negara ini dilaporkan membelanja kira-kira USD500 juta atau RM2 bilion untuk minuman keras setahun.

Katanya, mungkin menjadi kebanggaan bagi pihak tertentu apabila pada tahun 2011 Malaysia dinobatkan sebagai 10 negara dunia yang rakyatnya mengambil alkohol dengan kadar tinggi.

“Semua ini harus direnung dengan kaca mata iman betapa tiadanya keberkatan dari Allah untuk negara, bahkan sebaliknya mengundang laknat dari-Nya.

“Allah telah menegaskan dalam ayat 90 surah al-Maidah bahawa arak, judi, sembelihan korban untuk berhala dan nujum adalah kekejian dan lahir dari perbuatan syaitan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Dalam kejadian Rabu lalu, 23 individu di Lembah Klang disahkan sudah meninggal dunia akibat minum arak mengandungi metanol.

Jumlah itu membabitkan pertambahan dua kes kematian di Selangor dan menjadikan kes kematian di negeri itu meningkat kepada 19 orang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dilaporkan berkata, jumlah terkini mangsa terbabit kes arak beracun itu keseluruhannya 56 orang.

Katanya, 17 individu masih lagi dirawat manakala 20 lagi sudah dibenarkan pulang selepas keadaan kesihatan mereka beransur pulih.

Maka kata Nazman, solusi kepada segala kefasadan itu mesti disemak kembali undang-undang berkaitan seperti Akta Eksais 1976, juga Peraturan-peraturan Eksais (Penjualan Liqour memabukkan) 1976 dan Akta Kastam 1967, Seksyen 2 (1) demi kemaslahatan bersama.

Ujarnya lagi, polemik berkaitan juga boleh segera ditamatkan seperti hidangan arak dalam penerbangan MAS, menolak penajaan syarikat arak, menghentikan iklan arak serta mengehadkan lesen jualan arak mengikut komposisi kaum penduduk.

“Juga melaksanakan penguatkuasaan ketat terhadap pencegahan dan larangan mengenainya,” jelasnya.

Serentak itu juga, beliau mahu Kerajaan Persekutuan mencontohi Kelantan dalam soal pengurusan arak.

Katanya, minuman keras itu dilarang dijual di hotel, pasar raya dan kedai runcit biasa.

Namun, jelas beliau, kerajaan Kelantan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetap mengeluarkan permit kebenaran bagi premis tertentu menyediakan kepada pelanggan bukan Islam, iaitu kaedah mudah yang boleh dicontohi. – MalaysiaGazette