Datuk Hazimah Zainuddin
Datuk Hazimah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Pengasas dan pengarah urusan Hyrax Oil Sdn Bhd, Datuk Hazimah Zainuddin dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri memberitahu, Hazimah juga merupakan ahli SME Corp Business Advisory Panel, ahli lembaga pengarah Center of Entrepreneur Development & Research Sdn Bhd (CEDAR) dan duta di Commonwealth Women Entrepreneurs.

Selain itu , Hazimah juga pernah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah MATRADE dan Scientex Berhad, ahli majlis Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) serta pengerusi Gabungan Persatuan Usahawan Wanita Malaysia (FEM).

Menurut kenyataan itu lagi, empat lagi individu turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah yang baharu.

Mereka ialah rakan kongsi kanan Naqiz & Partners, Syed Naqiz Shahabuddin; Ketua Jabatan Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Institusi Kewangan, MUFG Bank Malaysia Berhad, Zarir Mohd Salleh; Pengarah Eksekutif JP Morgan Chase Bank Berhad, Nurjesmi Mohd Nashir dan Pengarah Urusan Accenture, Malaysia, Azwan Baharuddin.

Kesemua pelantikan tersebut berkuatkuasa 24 September ini. – MalaysiaGazette