Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar UMNO.
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar UMNO.

KUALA LUMPUR – Dua penganalis kanan dari akhbar bahasa Inggeris dan bahasa Cina melihat wujud “faktor kuasa” dalam gelombang keluar UMNO yang bermula dengan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman.

Penganalis The Star, Joceline Tan dalam satu artikel analisisnya berkata, salah satu pandangan mengenai arus keluar UMNO adalah kewujudan “tangan tersembunyi” di sebalik apa yang berlaku.

“Mereka yang berpegang kepada pandangan ini berpendapat wujud satu rancangan besar untuk memburu Ahli Parlimen UMNO dengan tujuan meningkatkan sokongan Melayu kepada Pakatan Harapan.

“Pandangan bagaimanapun berbeza mengenai sama ada perbuatan ini bertujuan memecahkan UMNO atau dilakukan dengan restu senyap daripada pemimpin UMNO sendiri,” katanya dalam artikel bertajuk Permainan Kuasa di Sebalik Perletakan Jawatan UMNO.

Dalam pada itu, editor kanan dan penganalisis Sinchew Daily, Tay Tian Yan juga membangkitkan “teori kuasa” mengenai apa yang menimpa UMNO, parti yang dikatakan mampu menjadi ‘king maker’.

Beliau berkata, penyertaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil adalah lebih awal daripada yang dijangkakan dan pencaturan politik itu telah memberi tekanan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, walaupun Dr. Mahathir kekurangan bilangan kerusi untuk terus menjadi Perdana Menteri, tetapi keadaan akan bertukar jika beliau menerima sokongan Parti Amanah Negara, DAP, Parti Warisan Sabah dan Gabungan Parti Sarawak.

Menurutnya lagi, Anwar pula akan mencapai kelebihan jika beliau berjaya mengukuh kedudukan dalam PKR serta mendapat sokongan Amanah dan DAP.

“Ini merupakan permainan tarik tali dan tiada siapa pun mempunyai kelebihan dalam permainan ini.

“Tetapi, keadaannya akan berbeza jika salah satu pihak mendapat sokongan UMNO.

” UMNO boleh menjadi ‘king maker’ dalam kemelut yang berlaku antara Mahathir dan Anwar,” katanya dalam artikel bertajuk Que Sera Sera, frasa bahasa Spanyol yang bermaksud keadaan masa depan di luar kawalan.

Tian Yan berkata, ramai orang menanti-nantikan perpecahan malahan pembubaran UMNO, tanpa menyedari pembubaran UMNO juga mungkin membawa kepada pembubaran Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan