Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka berada dalam aliran tinggi minggu depan dengan indeks petunjuk pasaran itu diunjur mencecah paras 1,830, susulan meredanya keadaan tidak menentu yang menyelubungi konflik tarif Amerika Syarikat (AS)-China.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, sentimen ke arah aset pasaran sedang pesat membangun telah mula bertambah baik apabila para pelabur berpandangan tarif perdagangan terbaharu yang dikenakan oleh AS dan China tidak membawa kesan ekonomi yang besar seperti yang dibimbangi banyak pihak.

“Kita melihat lebih banyak dana asing kembali ke Malaysia dan minggu lepas, ia berjumlah hampir RM200 juta,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya, asas ekonomi negara kukuh dengan keluaran dalam negara kasar dijangka berkembang lima peratus tahun ini, dan pasaran saham tempatan mengatasi prestasi bursa serantau lain seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.

Di bursa tempatan, Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melepasi paras ketahananya pada 1,805 dan paras ketahanan seterusnya pada 1,839.

“Justeru itu, FBM KLCI dijangkakan berlegar sekitar paras ini,” katanya.

Minggu depan, katanya, pasaran akan memantau kenyataan daripada Rizab Persekutuan (Fed) susulan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 25-26 Sept.

Mohd Afzanizam berkata ekonomi AS berada dalam kedudukan kukuh dengan purata pendapatan sejam meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun pada Ogos, melepasi purata 2.2 peratus sejak 2010.

“Justeru itu, gaji meningkat pada kadar yang pantas. Jadi kita boleh lihat Fed kelihatan cenderung ke arah menaikkan kadar faedah dalam kenyataan mereka. Jika itu berlaku, ia boleh memberi tekanan kepada pasaran,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI naik 6.88 mata kepada 1,810.64.

Indeks FBM Emas meningkat 42.96 mata kepada 12,607.96 dan Indeks FBMT100 melonjak 36.35 mata kepada 12,423.33.

FBM 70 menokok 2.39 mata kepada 14,846.96, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 69.14 mata kepada 12,735.94, manakala FBM Ace menambah 27.2 mata kepada 5,204.44.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 45.22 mata kepada 17,968.66, Indeks Perladangan naik 0.33 mata kepada 7,552.19, manakala Indeks Perusahaan menokok 26.41 mata kepada 3,230.77.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 7.8 bilion unit bernilai RM9.5 bilion daripada 7.29 bilion unit bernilai RM7.87 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 5.27 bilion saham bernilai RM8.89 bilion daripada 5.66 bilion saham bernilai RM8.99 bilion pada Jumaat minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.49 bilion unit bernilai RM383.58 juta daripada 2.98 bilion unit bernilai RM872.93 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.03 bilion saham bernilai RM229.39 juta daripada 1.73 bilion saham bernilai RM238.88 juta.

Pasaran ditutup pada Isnin berikutan cuti umum sempena Hari Malaysia yang jatuh pada hari Ahad, 16 Sept. – MalaysiaGazette