Mario Gomez. foto Agensi

MEXICO CITY – Seorang lagi wartawan Mexico dibunuh di negeri Chiapas, Mexico – merupakan serangan terbaharu ke atas pengamal media.

Mangsa, Mario Gomez didakwa didatangi oleh dua suspek semasa dia meninggalkan kediamannya.

Gomez ditembak di perut, menurut akhbar El Heraldo de Chiapas, yang merupakan majikan mangsa.

Mangsa yang dibawa ke hospital, kemudian meninggal dunia.

Kedua-dua suspek berjaya melarikan diri selepas menyerang mangsa.

“Kami mengutuk pencerobohan pengecut terhadap rakan sekerja kami. Kami menuntut pihak berkuasa yang kompeten untuk menyiasat ini,” menurut editorial akhbar tersebut.

Wartawan menjadi sasaran keganasan di Mexico sehingga Jawatankuasa Perlindungan Wartawan mengklasifikasi negara itu sebagai negara paling bahaya untuk pekerja media.

Seramai 11 wartawan telah terbunuh di Mexico sejak tahun 2016 dan 2017. – MalaysiaGazette