Dua belas pelajar maahad tahfiz berkenaan yang dalam perjalanan untuk menghadiri program Tafsir al-Quran di Madinah Ramadan Kota Bharu di sini, berdepan saat mengerikan apabila van yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebuah rumah di Km55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai.

KOTA BHARU – Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini memerintahkan Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kampung Tualang, Kuala Krai membayar sejumlah RM4,334,507 kepada bekas pelajarnya yang terbabit dalam kemalangan van pada Jun tahun lepas.

Dalam keputusannya, Hakim Nazri Ismail berkata tiga daripada empat defendan iaitu Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 25, yang juga pemandu van, CT-One Corporation Sdn Bhd dan Maahad Tahfiz Al-Hashimi, bertanggungjawab secara vikarius, untuk membayar kos tersebut kepada Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 18, dan ibunya, Jahsuriawany Mustapha, 46, selepas mangsa hilang upaya akibat kemalangan tersebut.

Pengetua maahad tahfiz itu, Mohd Khalidi Che Haron yang dinamakan sebagai defendan ketiga, tidak diperintahkan membayar kos berkenaan.

Kos itu membabitkan ganti rugi terhadap Muhammad Faiz Hafizuddin yang cedera kepala dan retak saraf tunjang sehingga menyebabkan mangsa lumpuh seumur hidup serta bagi pembelian lampin pakai buang, tiub makanan, beg kencing, katil, tilam dan jururawat persendirian.

Plaintif diwakili peguam R. Kameswary dan Mazlinda Mahmud manakala defendan diwakili Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah & Azman. Bagaimanapun peguam defendan tidak hadir ketika mahkamah membacakan keputusan pada hari ini.

Sementara itu, Kameswary ketika ditemui pemberita berkata plantif memulakan tuntutan pada April lepas dan proses perbicaraan memakan masa selama dua hari dengan empat saksi dipanggil termasuk pengasas maahad tahfiz berkenaan, Datuk Adnan Hashim,

“Semakan mendapati van yang dinaiki mangsa tidak mempunyai insurans terhadap pelajar-pelajarnya dan pada hari kejadian telah dipandu oleh pemandu yang tidak mempunyai lesen kenderaan.

“Justeru, mahkamah memutuskan defendan pertama iaitu pemandu van, defendan kedua iaitu pemilik van (CT-One Corporation Sdn Bhd) dan defendan keempat, Maahad Tahfiz Al-Hashimi perlu bertanggungjawab 100 peratus terhadap kecederaan yang dialami mangsa,” katanya.

Jun tahun lepas, tujuh daripada 12 pelajar tahfiz termasuk seorang berasal dari Thailand, terbunuh dengan lima daripadanya maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Kuala Krai.

— BERNAMA