LGE
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menganggap Datuk Seri Najib Razak gagal dalam ujian perakaunan kerana keliru dengan perbezaan Kumpulan Wang Disatukan dan Akaun Hasil Disatukan.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu juga salah anggap bahawa jumlah di dalam Kumpulan Wang Disatukan boleh digunakan.

Jelas Ahli Parlimen Bagan itu, mengikut undang-undang, kerajaan cuma boleh menggunakan Akaun Hasil Disatukan untuk perbelanjaan pengurusan.

“Pada 31 Disember 2017, jumlah sebanyak RM11.86 bilion di dalam Akaun Hasil Disatukan telah merosot kepada RM450 juta pada 30 April berikutan perbelanjaan yang berlebihan untuk tempoh empat bulan dari Januari 2018 hingga April 2018.

“Ini adalah “perbelanjaan pilihanraya umum” yang digunakan untuk cuba membantu Barisan Nasional memenangi Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng menambah, Najib juga telah mendakwa beliau bukan lagi Menteri Kewangan apabila penyata kewangan bulanan untuk 30 April 2018 yang belum diaudit disediakan.

Jelas beliau, Najib juga mendakwa beliau terkejut apabila mendapati Kerajaan Barisan Nasional (BN) cuma meninggalkan RM450 juta di dalam Akaun Hasil Disatukan kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan.

“Ini sama sekali tidak benar. Datuk Seri Najib tidak sepatutnya berpura-pura mengenai kedudukan fiskal yang sebenar dengan menegaskan BN telah meninggalkan puluhan billion ringgit kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan tetapi hakikatnya cuma ada RM450 juta sahaja.

“Bayangkan, hanya ada RM450 juta sahaja yang boleh dibelanjakan untuk membayar emolument (gaji) dan pencen sedangkan untuk ini sahaja kerajaan memerlukan lebih RM8 bilion sebulan,” katanya.

Guan Eng turut mempersoalkan adakah Najib masih lagi keliru untuk membezakan atau memahami apa sebenarnya kandungan Hasil Akaun Disatukan walaupun beliau memegang jawatan Menteri Kewangan selama 10 tahun.

Tegasnya, bekas Presiden UMNO juga tanpa usul periksa mempersoalkan kesahihan penyata kewangan bulan April 2018 yang belum diaudit dan secara tidak langsung menuduh saya memanipulasi angka-angka tersebut.

“Sebagai bekas Menteri Kewangan, beliau sepatutnya arif bahawa penyata kewangan bulanan Kerajaan Persekutuan disediakan secara berasingan oleh Jabatan Akauntan Negara.

“Beliau sepatutnya tidak mempersoalkan kredibiliti penyata kewangan bulanan tersebut.

“Najib sekali lagi gagal untuk menyedari bahawa Menteri Kewangan masih belum mengangkat sumpah apabila penyata kewangan bulanan untuk 30 April 2018 yang belum diaudit disediakan.

Guan Eng berkata, Najib sebaliknya harus menjelaskan mengapa terdapat penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion dalam Akaun Hasil Disatukan pada 31 Disember 2017 sehingga 30 April 2018 dan hanya meninggalkan RM450 juta kepada Kerajaan Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette