Tan Sri Lee Lam Thye
Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan memperkenalkan hukuman mandatori kepada individu yang menjual alkohol yang dicemari dengan bahan terlarang.

Kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye dalam masa yang sama kerajaan perlu meminda undang-undang sedia ada berkaitan dengan operasi penjualan minuman beralkohol.

Jelas beliau ini kerana premis yang menjual arak semakin banyak.

“Saya percaya kurangnya kawalan terhadap penjualan alkohol menyebabkan kes keracunan metanol banyak dilaporkan.

“Sehingga kini, masih banyak premis menjual minuman beralkohol yang diseludup atau dicampurkan dengan bahan lain sebelum dijual dengan murah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seramai 19 individu maut selepas minum arak mengandungi metanol, 4 pesakit kini dalam keadaan kritikal, sembilan pesakit dimasukkan ke wad untuk rawatan dan pemerhatian, manakala sembilan individu dibenarkan pulang setelah menjalani rawatan.

Yayasan itu menerusi Lee juga berharap agar pihak berkuasa berkaitan termasuk melakukan pemantauan dan pemeriksaan berkala di premis yang menjual arak.

“Selain pemeriksaan berterusan, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kimia perlu tampil membantu mendapatkan sampel rawak untuk menentukan sama ada minuman keras dicemari atau mengandungi tahap metanol yang tinggi.

“Pada masa sama, rakyat Malaysia harus membuang sikap tidak ambil peduli dan membantu pihak berkuasa menangani masalah pengambilan arak berlebihan yang boleh menyebabkan masalah sosial, kegagalan dalam pembelajaran, kemalangan jalan raya dan pergaduhan,”katanya lagi.-MalaysiaGazette