Calon Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohd Talha bercakap ketika sesi sidang media pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun 2018 di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakayat (PKR), Petaling Jaya. Selangor. foto AFFAN FAUZI, 05 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR terus dianggap pihak yang patut dipersalahkan ekoran kejadian kekecohan yang berlaku semalam.

Calon Ketua Wanita PKR, Haniza Talha berpendirian JPP perlu digantikan dengan sebuah badan yang bebas seperti Bersih.

“Perkara yang dikhuatiri akan berlaku sudah terjadi dan Jawatankuasa Pemilihan Parti tidak bersedia langsung dengan kemungkinan kegagalan sistem sehingga terpaksa membatalkan proses pemilihan di negeri-negeri.

“JPP patut digantikan dengan badan bebas seperti Bersih untuk mengendali proses pemilihan kali ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Haniza turut mendakwa Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution tidak adil apabila bersifat cenderung kepada calon tertentu yang bertanding.

“Wanita Keadilan juga berpandangan, Setiausaha Agung (Datuk Saifuddin Nasution) harus bersifat neutral dalam urusan pengendalian pemilihan selepas ini kerana beberapa kali telah dilihat menzahirkan sokongan kepada calon yang bertanding,” tambahnya.

Sabtu, iaitu hari pertama proses pengundian,sekurang-kurangnya lapan Cabang PKR di negeri Jelapang Padi itu terpaksa ditangguhkan pemilihannya oleh JPP.

Pulau Pinang pula lapan cabang itu ialah Padang Serai, Baling, Sik, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Langkawi, Jerai dan Merbok ditangguhkan pemilihan, apabila sistem e-voting yang baharu diperkenalkan tahun ini gagal berfungsi.

Ribuan ahli PKR yang bertindak sebagai pengundi kemudiannya mengamuk dan menzahirkan rasa tidak puas hati kegagalan sistem itu dengan menjerit, memekik dan menghentak meja kepada petugas JPP.

Mereka marah kerana seawal jam 7.30 pagi sudah berada di pusat pengundian, tetapi jam 11 pagi masih belum dapat mengundi, sedangkan jarak yang beratur di luar pusat berkenaan semakin panjang dan menyesakkan.

Petugas JPP PKR yang mengendalikan sistem pengundian itu pula gagal mengawal keadaan pengundi menyebabkan ada dari kalangan mereka mencetuskan provokasi sehingga berlaku insiden pergaduhan ala gangstar.

Haniza justeru mendesak kepimpinan parti mengambil tindakan terhadap Saifuddin dan JPP kerana gagal menangani isu proses pemilihan yang berakhir dengan kekecohan.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini mewajarkan keputusan yang tegas diambil oleh kepimpinan tertinggi parti terhadap Setiausaha Agung dan JPP.

“Wanita mendesak kepimpinan tertinggi parti membuat keputusan serta bertindak segera bagi membetulkan kegagalan proses pemilihan yang telus dan bersih dapat dilaksanakan,” tambah Haniza.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan