Menerusi mesej pesanan suara dari Taiwan iaitu lokasi beliau menjalani rawatan, Chong Wei, 35, bertekad untuk kembali semula ke gelanggang. - Foto MalaysiaGazette
Menerusi mesej pesanan suara dari Taiwan iaitu lokasi beliau menjalani rawatan, Chong Wei, 35, bertekad untuk kembali semula ke gelanggang. - Foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Jaguh badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei akhirnya muncul memberi kenyataan selepas disahkan menghidap kanser hidung.

Menerusi mesej pesanan suara dari Taiwan iaitu lokasi beliau menjalani rawatan, Chong Wei, 35, bertekad untuk kembali semula ke gelanggang.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu tetap mahu terus bermain di peringkat antarabangsa secara kompetitif.

“Tunggu saya. Saya akan kembali ke gelanggang. Jangan lupakan saya lagi, saya masih di sini,” katanya dalam satu mesej pesanan suara itu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu dijangka pulang ke Malaysia pada akhir bulan ini.

Beliau berada di Taiwan ditemani isterinya, Datin Wong Mew Choo serta dua anak mereka, Kingston dan Terrance sejak Julai lalu.

“Saya akan kembali segera. Terima kasih di atas keprihatinan yang ditunjukkan kepada saya sepanjang tempoh rawatan saya selama dua bulan.

“Saya akan berkata lebih lanjut apabila kembali nanti,” katanya.

Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam
satu kenyataan turut mengesahkan penyakit yang dihidap Chong Wei.

Ia berikutan satu status yang tular di media sosial pada Jumaat yang mendakwa Chong Wei menghidap kanser hidung tahap tiga.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria meminta semua pihak supaya memberi ruang dan ketenangan kepada Chong Wei untuk pulih.

“Maklum balas terhadap laporan Datuk Lee Chong Wei, BAM mengesahkan Chong Wei telah didiagnosis peringkat awal kanser hidung.

“Chong Wei kini berada di Taiwan menjalani rawatan dan saya dengan sukacitanya memaklumkan kepada anda bahawa beliau bertindak balas dengan baik terhadap rawatannya dan kini sedang berehat bersama keluarga dan rakan-rakan rapat.

“Bagi pihak Chong Wei, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas doa dan kebimbangan anda. Sokongan anda adalah sumber kekuatan dan semangatnya.

“Kami menyeru semua orang untuk menghormati privasi dan keluarganya. BAM sentiasa berhubung dengan Chong Wei dan kami akan menawarkan sebarang sokongan kepada legenda kami,” katanya.

Pada Julai lalu, BAM mengeluarkan kenyataan bahawa Chong Wei berehat daripada sebarang beraksi kerana mengalami gangguan pernafasan. – MalaysiaGazette

Hormati, beri privasi kepada Chong Wei – Syed Saddiq

BAM sahkan Chong Wei didiagnosis barah hidung