Pengarah filem, Datuk Yusof Haslam

KUALA LUMPUR – Perjuangan penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam dalam dunia perfileman tanah air kini dihargai apabila beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah Kehormat Sastera Seni dalam bidang perfileman yang membawa gelaran doktor.

Yusof, 64, menerima ijazah terbabit sempena Majlis Konvokesyen Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.

Penganugerahan itu berdasarkan sumbangan besar pemilik syarikat produksi Skop Production Sdn. Bhd. berkenaan dalam dunia perfileman selama hampir 46 tahun.

Kejayaan Skop Production yang menghasilkan deretan filem pecah panggung sejak 1981 dan terbaharu filem Munafik 2 yang membuat kutipan lebih RM40 juta menjadi kayu pengukur kepada kejayaan Yusof dalam industri seni

Sebelum ini, gelaran Doktor turut dianugerahkan kepada tokoh seni lain seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Tan Sri Jins Shamsuddin dan Datuk Ahmad Nawab daripada universiti yang berbeza.

Yusof pernah menerima penganugerahan ACP Kehormat daripada Polis Diraja Malaysia kerana aktif menghasilkan drama kepolisian pada 2012. – MalaysiaGazette