Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melahirkan rasa kagum dengan semangat juang tinggi Datuk Lee Chong Wei untuk melawan penyakit kanser.

Beliau berkata, bukan mudah untuk seorang pesakit kanser seperti pemain badminton nombor satu negara itu yang memiliki keazaman tinggi ntuk kembali ke gelanggang semula bagi menyertai pertandingan kompetitif pada masa akan datang.

“Beliau sangat berkobar-kobar untuk kembali ke gelanggang. Bukan mudah untuk pesakit kanser mahu berjuang untuk kembali aktif seperti sebelum ini.

“Kalau pesakit kanser lain mungkin ada yang putus asa tetapi Chong Wei berbeza sama sekali.

“Insya-Allah saya yakin Chong Wei dapat melawan penyakit kanser kerana dia adalah seorang juara dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pertandingan akhir peringkat kebangsaan World Electronic Sports Games (WESG) SEA Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Chong Wei yang bertekad untuk kembali semula ke gelanggang selepas disahkan menghidap kanser hidung.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu tetap mahu terus bermain di peringkat antarabangsa secara kompetitif.

Ditanya bentuk bantuan yang akan diberikan kepada Chong Wei, Syed Saddiq berkata, beliau akan bertemu dan berbincang dengan pemain itu dahulu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu dijangka pulang ke Malaysia pada akhir bulan ini.

Beliau kini berada di Taiwan ditemani isterinya, Datin Wong Mew Choo serta dua anak mereka, Kingston dan Terrance sejak Julai lalu untuk menjalani rawatan.

Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam
satu kenyataan turut mengesahkan penyakit yang dihidap Chong Wei.

Ia berikutan satu status yang tular di media sosial pada Jumaat yang mendakwa Chong Wei menghidap kanser hidung tahap tiga.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria meminta semua pihak supaya memberi ruang dan ketenangan kepada Chong Wei untuk pulih.

Pada Julai lalu, BAM mengeluarkan kenyataan bahawa Chong Wei berehat daripada sebarang beraksi kerana mengalami gangguan pernafasan. – MalaysiaGazette