Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menyeru semua pihak menunggu keputusan yang bakal dikeluarkan mahkamah berkaitan isu liwat melibatkan sembilan pelajar di pusat tahfiz dan tidak mengeluarkan sebarang bentuk spekulasi yang bakal menimbulkan polemik lebih besar.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya mengikuti perkembangan kes tersebut sejak dari awal penularan berita tersebut di media sosial, juga kes-kes sebelum ini.

“Kami sejak dahulu lagi sentiasa konsisten menentang sebarang bentuk manipulasi, penderaan, ketidakadilan dan penindasan terhadap kanak-kanak.

“Membina persepsi dan spekulasi terhadap institusi berkenaan hanya akan menimbulkan bibit Islamofobia yang sepatutnya tidak berlaku di negara umat Islam berbilang bangsa dan agama seperti di Malaysia,” kata Dr Zulkifli menerusi catatan di laman rasmi Twitter beliau, pagi tadi.

Beliau berkata institusi tahfiz sewajarnya dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan sebagaimana pepatah melayu ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

Jelasnya, sudah sampai masa pihak berkaitan mempertimbangkan beberapa cadangan untuk dilaksanakan bagi memperkemaskan urus tadbir institusi pendidikan tahfiz negara.

“Antaranya, Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTAR) hendaklah terus diperkasakan di samping pemantauan berkala urus tadbir dan kebajikan pelajar maahad tahfiz di setiap kawasan dijalankan oleh anggota Parlimen kawasan,” katanya.

Tambah beliau cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh iaitu mendaftarkan semua maahad tahfiz yang tidak berdaftar merupakan satu cadangan yang wajar dipandang serius.

Semalam seorang guru agama, yang juga pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong, ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan sehari selepas polis menerima laporan kes berkenaan yang dibuat oleh seorang guru lelaki pusat tahfiz berkenaan pada 13 Sept yang melibatkan pelajar berusia antara lingkungan 11 hingga 16 tahun.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan