KUALA LUMPUR  – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti berkaitan ajaran Syiah untuk memaklumkan kepada mereka agar tindakan lanjut dapat diambil.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata pihaknya menyedari keresahan masyarakat berhubung program yang dianjurkan pertubuhan ‘Who Is Hussain’ yang dipercayai dikelola kumpulan pro Syiah, dengan memberi sumbangan ‘donut’ percuma kepada orang awam pada Sabtu lepas (22 Sept).

“Berhubung perkara ini, JAWI telah membuat pemantauan berterusan berdasarkan aduan awam yang diterima melalui media sosial semalam.

“Berdasarkan keputusan fatwa oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan di bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), adalah diperakukan bahawa ajaran Islam selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, penyebaran apa-apa ajaran lain selain ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada penganut agama Islam di Wilayah Persekutuan adalah dilarang.

Mohd Ajib juga menasihatkan semua pihak supaya bertenang dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa bagi menangani sebarang isu yang timbul.

Sementara itu, Rapid KL dalam kenyataan hari ini berkata Rapid KL Laluan Monorel tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penganjuran program tersebut.

Katanya, aktiviti mengedarkan donut percuma itu tidak berlaku di stesen monorel Bukit Bintang.

“Rapid KL ingin menegaskan bahawa aktiviti berkenaan tidak berlaku di stesen monorel Bukit Bintang; tetapi telah dijalankan di luar stesen kami. Pihak kami tiada kaitan dengan aktiviti kumpulan berkenaan,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Tinggalkan Jawapan