Had umur perkahwinan di Johor tidak akan diturunkan sebaliknya akan dikekalkan atau dinaikkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan negeri Aminolhuda Hassan.
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Had umur perkahwinan di Johor tidak akan diturunkan sebaliknya akan dikekalkan atau dinaikkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan negeri  Aminolhuda Hassan.

Beliau berkata perbincangan akan diadakan bersama Jabatan berkaitan termasuk Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berhubung perkara itu pada bulan hadapan.

“Saya telah cadangkan satu muzakarah khas berkaitan keizinan had umur perkahwinan minimum yang dibenarkan sama ada akan dikekalkan atau dinaikkan dengan meneliti faktor atau sebab mengikut situasi semasa,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat perjalanan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Sri Skudai, di sini hari ini.

Buat masa ini katanya, had umur masih kekal iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki yang dibenarkan berkahwin mengikut perundangan kecuali hal-hal terpencil dengan faktor yang tidak dapat dielakkan, mungkin akan dapat kebenaran khas.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman sosial rasmi baginda yang menyelar cadangan seorang mufti menurunkan had umur perkahwinan kepada 14 tahun.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mencadangkan untuk menaikkan had usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun, bagi melindungi kesihatan, keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini.

Kertas kerja mengenainya akan disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi mendapatkan sokongan.

Dalam perkembangan lain, satu mesyuarat bersama jawatankuasa panel penasihat dan sekretariat bagi penubuhan Universiti Johor akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Aminolhuda berkata pihaknya akan meneliti beberapa perkara termasuk mengenai sokongan kewangan, kemampuan tenaga pengajar dan silibus pengajaran.

“Ia (Universiti Johor) sedang berjalan, kita nak tengok dari segi kewangan iaitu sokongan kewangan daripada kerajaan negeri untuk menubuhkannya serta kita perlukan sekurang-sekurang 50 peratus tenaga pengajar memiliki kelulusan doktor falsafah (PHD), tambah beliau lagi.

Beliau turut menjangkakan pengambilan pertama pelajar untuk Universiti Johor akan dijalankan selewat-lewatnya pada tahun 2022.

— BERNAMA