Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini dasar parti UMNO di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2018
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini dasar parti UMNO di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – UMNO akan melaksanakan proses pemutihan bagi memastikan semua ahlinya menyokong dasar parti dan selari dalam perjuangan.

Setiausaha Agung parti itu Tan Sri Annuar Musa berkata, kini wujud keraguan dalam senarai keahlian parti selain perubahan iklim politik apabila terdapat tindakan keluar parti baru-baru ini.

“Pada masa yang sama keahlian biasa kita yang melebihi 3 juta sekarang akan melalui proses pemutihan kerana kita menerima realiti ada sedikit pergerakan keluar dan masuk kerana landskap politik negara kita yang berubah.

“Kita mahu memastikan ahli yang wujud benar-benar menyokong dasar dan perjuangan parti,” katanya kepada pemberita di Menara Dato’ Onn hari ini.

Proses pemutihan yang dijangkakan berlangsung selama tiga bulan selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) itu, tambah Annuar, disuarakan daripada akar umbi yang berpendirian bahawa senarai ahli parti perlu dikemaskini.

“Pemutihan ini diminta akar umbi, mereka merasakan proses pemutihan ini diperlukan kerana berlaku dinamik keanggotaan dan kerana terdapat juga keahlian-keahlian yang diragukan statusnya, ada yang sudah berhijrah, sudah meninggal tapi senarai masih ada.

“Ibu pejabat parti akan keluarkan garis panduan bagaimana proses pemutihan itu dijalankan supaya ia tidak diambil kesempatan selain untuk memurnikan perjalanan parti” tambahnya.

Annuar dalam masa yang sama tidak menolak proses pemutihan akan mengurangkan jumlah keahlian UMNO namun menganggap ia bukan isu penting.

“Kita tidak dapat mejangkakan tapi sudah pasti (jumlah ahli berkurang) kalau kita keluarkan senarai. Kita tidak mahu berbangga dengan angka, kita nak beri penekanan kepada kualiti,” jelasnya. -MalaysiaGazette