Sepasang suami isteri ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran di rumahnya, Jun lalu.
Sepasang suami isteri ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran di rumahnya, Jun lalu.

PETALING JAYA – Sepasang suami isteri ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran di rumahnya, Jun lalu.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd Ishak membenarkan tempoh reman sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kedua-dua individu berusia 39 dan 41 tahun itu.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Suspek yang direman itu merupakan adik ipar perempuan Nazrin dan suaminya.

Sebelum ini, isteri Nazrin dan bekas suaminya serta dua anak tiri mangsa ditahan reman namun kesemua mereka dibebaskan selepas tamat reman.

Kes kematian Nazrin diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh selepas laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan wujud kesan petrol di lokasi kejadian, selain berdasarkan hasil bedah siasat.

Pada 14 Jun lepas, Nazrin dilapor meninggal dunia dipercayai berpunca daripada terhidu asap selepas kebakaran berlaku ekoran telefon bimbitnya yang meletup semasa mengecas di bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara, di sini.

Cradle Fund ialah syarikat bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia.

Ia adalah agensi yang memberi pembiayaan awal kepada syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan