Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini dasar parti UMNO di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2018
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai Ketua Umum UMNO tidak relevan, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Jelas beliau, perkara itu mustahil dilaksanakan kerana perlembagaan UMNO tidak mempunyai ketetapan seperti itu.

“Saya sebagai Setiausaha Agung berpendapat cadangan itu tidak relevan dan tidak boleh dilaskanakan kerana tidak terdapat dalam perlembagaan UMNO,” ringkas katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Ketua Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos agar Ahli Majlis Tertinggi membincangkan cadangan agar Najib dilantik menjadi Ketua Umum UMNO serta-merta.

Kata Jamal, Najib mempunyai pengalaman dalam bidang politik lebih luas dalam masa yang sama menyifatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadapi tekanan untuk bersuara dengan lebih lantang.

Sementara itu, Annuar dalam sidang media itu turut menyifatkan pemimpin yang meninggalkan parti itu sebagai lemah dan mempunyai kepentingan sendiri.

“Yang lemah semangat itu pemimpin kerana banyak kepentingan, yang kuat semangat akar umbi,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee untuk keluar parti. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan