Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perang mulut di media sosial antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng masih berlarutan sehingga hari ini.

Terbaharu, Najib berkata, Guan Eng enggan menjawab 17 soalan yang diajukan oleh beliau kepada Guan Eng.

Najib dalam status Facebooknya hari ini mempersoalkan kenyataan Guan Eng yang mendakwa beliau masih enggan memberikan jawapan walaupun telah dijawab Najib.

“Saya sudah jawab, adalah mustahil wang disatukan kerajaaan hanya berbaki RM450 juta pada hujung April 2018 kerana sentiasa terdapat “buffer” dua bulan sebagai penampan bayaran gaji dan pencen sekitar RM8 bilion sebulan.

“Saya juga menjawab jika dakwaan Guan Eng itu benar sekalipun kononnya ia hanya berbaki RM450 juta pada hujung April 2018, dia mempunyai akses kepada akaun kerajaan dan dengan mudah untuk beliau mendapatkan jawapan ke mana wang itu dibelanjakan? Kenapa tanya saya pula? Siapa Menteri Kewangan Malaysia sebenarnya ini?,” soal Najib.

Malah Guan Eng hari mengingatkan Najib agar tidak cuba ‘bermain’ dengan soalan-soalan yang dilihat hanya untuk menyelamatkan diri daripada isu penyusutan wang kerajaan berjumlah RM11.41 bilion.

Ahli Parlimen Bagan itu bertegas beliau tidak akan menjawab 17 soalan Najib selagi bekas Perdana Menteri itu tidak menjelaskan persoalan kehilangan wang berkenaan.

“Itu jelas sekali usaha untuk elak jawab soalan yang saya tujukan. Soalan saya mudah. Kenapa wang yang ditinggalkan kepada kerajaan baru boleh susut daripada RM11.86 bilion pada akhir 2017 kepada hanya RM450 juta iaitu penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion.

“Beliau tak boleh jawab dan bila tanya, beliau cuba elak dengan kata-kata yang anda patut tahu,” kata Guan Eng.

Justeru Najib membalas Guan Eng tidak boleh terus menerus menuduhnya berhubung keadaan ekonomi negara kerana hal ehwal dan pengawalan ekonomi bukannya suatu permainan yang mana sifat selalu salah dan hantam sahaja boleh diterima.

“Ia bukan satu permainan di mana apabila sudah ‘Game Over’ ianya boleh “Continue” dengan menambah satu atau dua token lagi.

“Sebenarnya, soalan-soalan saya semalam hanya memerlukan jawapan “Ya” atau “Tidak” sahaja. Kalau Guan Eng tidak mampu menjawab, ada ramai pegawai-pegawai di dalam Kementerian Kewangan yang beliau boleh tugaskan untuk menjawab,” tegas Najib.

Najib semalam mengemukakan 17 soalan untuk dijawab Guan supaya tidak terus menuding jari terhadap dirinya dalam isu menyentuh hal ehwal ekonomi negara.

Beliau mengemukakan soalan berkenaan atas alasan mahu membantu Setiausaha Agung DAP itu dan orang awam untuk memahami fakta serta kebenaran mengenai isu berkaitan kewangan negara. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan