Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas mengecam serangan ketika perbarisan tentera di Dataran Quds, Ahvaz kelmarin, yang mengorbankan dan mencederakan orang ramai termasuk anggota elit Pengawal Revolusi, wartawan, wanita serta kanak-kanak.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sewajarnya dunia Islam mengecam Amerika Syarikat dan negara sekutunya yang menjadi dalang di sebalik serangan itu, kerana telah mengorbankan rakyat awam dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

“Pas mengucapkan takziah kepada kerajaan Iran dan rakyat yang terlibat dalam tragedi ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka yang terkorban dan diberikan kesembuhan bagi mereka yang tercedera,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, beberapa orang dipercayai terbunuh apabila dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang ketika perarakan tentera di badar Ahvaz, di barat daya Iran.

Wartawan televisyen agensi berita Fars melaporkan, dua penyerang bersenjata mula melepaskan tembakan rambang di belakang pentas ketika perarakan, menyebabkan beberapa individu terbunuh dan cedera.

Setakat ini, menurutnya, sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk kanak-kanak dan wanita, cedera. – MalaysiaGazette