Rosmah Mansor
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes SRC International di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 05 JUN 2018.

ARAU: Siasatan terhadap isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor telah siap dan telah diserahkan kepada Peguam Negara, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

“Agensi ini hanya bertanggungjawab menjalankan siasatan dan terserah kepada Peguam Negara untuk mendakwa Rosmah atau tidak,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram. Pada Jun lepas Rosmah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

Khamis lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki berkata, agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.

Mohd Shukri yang ditemui pemberita selepas menyampaikan Executive Talk bertajuk ‘Rasuah: Cabaran Kepada Anak Muda’ sempena Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KoMawAR) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak boleh jawab soalan tuan-tuan sama ada dia (Rosmah) akan didakwa kerana ia di luar bidang kuasa kami,” kata Mohd Shukri.

Semasa menjawab soalan seorang pelajar kenapa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dibebaskan daripada pertuduhan rasuah pembelian banglo selepas pilihan raya umum ke-14 lepas beliau berkata, kuasa penuh untuk mendakwa terletak kepada Peguam Negara.

Mengenai kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa wujud individu berkuasa menawarkan kontrak untuk mendapat sokongan dalam pemilihan parti itu, Mohd Shukri meminta Anwar memberi maklumat mengenai kewujudan individu berkenaan.

Katanya, tanpa maklumat adalah sukar untuk SPRM menjalankan siasatan.

Akhbar hari ini melaporkan Anwar mengakui berlaku penawaran itu dan menegaskan beliau sama sekali tidak berkompromi dengan pemimpin yang menggunakan taktik kotor untuk menang jawatan. – Bernama

Tinggalkan Jawapan