Aquarius, Kapal penyelamat pendatang haram di Laut Mediterranean. foto Agensi

MILAN – Pihak berkuasa Maritim Panama telah membatalkan pendaftaran operasi mencari dan menyelamat bagi kapal Aquarius 2.

Dengan pembatalan itu bermakna tidak ada lagi bantuan pencarian di luar perairan Libya pada masa depan kecuali ada kapal yang dapat lesen untuk berbuat demikian.

Kapal Aquarius 2 adalah satu kapal kebajikan penyelamat yang masih beroperasi di kawasan tengah Mediterranean dengan 58 orang penyelamat.

SOS Mediterranee, salah sebuah badan amal yang mengendalikan Aquarius 2 dalam satu kenyataan berkata, ia terkejut dengan tindakan itu, yang didakwa disebabkan oleh tekanan daripada Kerajaan Itali.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini berkata, Kerajaan Itali tidak menggunakan tekanan terhadap Panama.

Kehadiran beratus ribu pendatang baharu melalui laut dalam tempoh lima tahun lalu menimbulkan keresahan kepada Itali.

Salvini telah mengetuai tindakan keras terhadap imigresen sejak Parti Liga dan Gerakan 5 Star sejak beliau mengambil alih jawatan pada bulan Jun lalu.

Salvini sebelum ini menuduh SOS Mediterranee dan badan-badan amal yang lain bertindak seperti “perkhidmatan teksi” di Mediterranean untuk para pendatang.

Salvini berkata, Aquarius 2 telah menghalang kerja pengawal pantai Libya dan mengabaikan arahan.

Beliau berkata, pendaftaran Aquarius 2 akan dibatalkan oleh Panama kerana ia menyalahi undang-undang dan tidak menghormati prosedur.

“Aquarius 2 boleh mengubah nama dan bendera mereka beribu kali tetapi pelabuhan-pelabuhan Itali akan menutup pintu untuk mereka,” kata Salvini. – MalaysiaGazette