Timbalan Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggariskan tiga perkara UMNO tidak perlu meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Port Dickson.

Menurutnya, tiga perkara itu dijadikan alasan dalam melihat peranan parti yang lebih besar daripada memilih untuk bertanding dalam sebuah PRK yang sengaja diwujudkan untuk kepentingan pihak tertentu,

“UMNO berasa sangat penting untuk menegaskan prinsip dan pendiriannya untuk tidak berkompromi dengan tindakan mengosongkan kerusi secara sengaja semata-mata demi menjayakan cita-cita politik seseorang individu.

“UMNO menolak sekeras-kerasnya tindakan ‘self centric’ yang mendasari keputusan mengadakan PRK Port Dickson kali ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, langkah mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada individu tertentu bertanding dalam satu-satu pilihan raya bukannya perkara baru dalam politik di negara ini.

Katanya, jika tiada protes dilakukan perkara seumpama itu tidak mustahil akan berlaku lagi dan dijadikan amalan oleh parti-parti politik hingga menjadi amalan dan kelaziman.

“Ia bukan sahaja bercanggah dengan prinsip demokrasi dan objektif moral sesebuah pilihan raya, malah satu pembaziran dana dan sumber awam negara yang sepatutnya dielakkan,” tegasnya.

Perkara kedua yang digariskan oleh bekas menteri besar Negeri sembilan itu ialah, UMNO perlu memfokuskan kepada usaha melaksana dan merancakkan agenda rejuvenasi parti pasca PRU14.

Katanya, tidak ada agenda yang lebih penting ketika ini, selain daripada menjayakan usaha memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan ahli dan rakyat terhadap UMNO.

“Melibatkan diri dalam PRK pada waktu ini tidak akan membantu usaha reformasi parti. Malah, ia akan mengheret parti ke kancah ‘politiking’ yang menyimpang dari usaha membawa pembaharuan dalam UMNO,” ujarnya.

Dalam pada itu, perkara ketiga yang digariskan oleh bekas ADUN Rantau itu iaitu UMNO pada masa ini perlu melakukan analisis dan kajian mendalam terhadap tahap sokongan di semua kawasan Parlimen dan DUN di seluruh Malaysia.

Ujarnya, semakan seperti itu akan membolehkan parti berkenaan merangka pelbagai strategi jangka pendek dan panjang yang khusus dan strategik kepada kelangsungan UMNO.

“Kajian seumpama ini juga akan membolehkan UMNO mengurus peranannya dalam landskap Malaysia baru ini secara lebih berkesan,” tambanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong apabila penyandang, Datuk Danyal Balagopal Abdullah memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di situ.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN dan Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast