universiti malaya
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) berpendirian untuk terus mempertahankan Rumah Kediaman Universiti (RKU) daripada diserahkan semula kepada pihak pengurusan Universiti Malaya.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sejumlah 231,168 pelajar lepasan SPM, STPM, Matrikulasi, dan Asasi menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Latihan dan Kemahiran Awam (ILKA) di seluruh negara bagi sesi akademik 2018/2019.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini berkata, pelajar-pelajar ini akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang sama ada bidang sains, sastera, sains gunaan, kemahiran mahupun teknikal.

Pada tahun 2018, sebanyak 983 program pengajian Ijazah Sarjana Muda ditawarkan oleh 20 UA di seluruh negara dan sebanyak 138 program pengajian Diploma ditawarkan di 13 UA seluruh negara,” katanya.

KPM berkata, lima program pengajian Ijazah Sarjana Muda aliran sains paling popular di UA adalah Bioperubatan, Sains Forensik, Pemakanan, Sains Matematik dan Dietetik manakala lima program pengajian Ijazah Sarjana Muda aliran sastera yang paling menjadi pilihan adalah Psikologi, Syariah (Fiqh dan Usul), Kaunseling, Usuluddin (Al-Quran & Al-Hadith) dan Pembangunan Sumber Manusia.

Bagi program pengajian Diploma, kenyataan itu berkata lima program pengajian aliran sains paling popular di UA ialah Kejururawatan, Farmasi, Sains Sukan dan Kejurulatihan, Sains Komputer (Komputeran Internet) dan Teknologi Maklumat manakala lima program pengajian Diploma aliran sastera pula adalah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pengajian Perniagaan, Seni Kulinari, Perakaunan dan Pentadbiran Awam.

KPM berkata, seramai 58,383 calon lepasan STPM dan setaraf telah memohon kemasukan ke UA dan daripada jumlah itu, seramai 24,089 calon memohon aliran sains dan 34,134 calon memohon aliran sastera.

Berdasarkan permohonan tersebut, sejumlah 23,362 calon (96.9 peratus) aliran sains yang berjaya dan diterima manakala 25,397 calon aliran sastera (74.4 peratus) diterima.

Bagi calon lepasan SPM, kenyataan itu berkata, seramai 213,000 calon memohon dan daripada jumlah itu seramai 81,000 calon memilih aliran sains dan 72,000 calon berjaya diterima manakala bagi aliran sastera, sebanyak 129,000 calon memohon dan seramai 110,000 calon berjaya.

KPM berkata, jumlah permohonan dan permohonan berjaya layak bagi aliran sains telah menurun berbanding calon aliran sastera, sejak tiga tahun yang lalu.

“Bagi sesi akademik 2018/ 2019, penawaran program pengajian bagi aliran sains adalah sebanyak 48 peratus dan sastera sebanyak 52 peratus,” katanya.

Senarai program pengajian boleh didapati melalui pautan: https://online.moe.gov.my/upu/epanduan/ – Bernama