Foto Facebook.

KUALA LUMPUR – Penyerang sensasi Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid kini mencetus spekulasi apabila dia dikatakan akan berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Semuanya gara-gara Akhyar atau terkenal dengan jolokan Neymar Kedah itu dilihat merakam gambar di depan laluan masuk ke padang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin yang tular di laman sosial.

Bagaimanapun peminat Helang Merah itu cuba menyedapkan hati mereka dengan mendakwa gambar itu sekadar lawatan biasa bintang muda itu.

Namun sejarah telah menyaksikan lawatan dan kunjungan peribadi beberapa pemain ke stadium Harimau Selatan itu sebelum ini berakhir dengan perpindahan ke pasukan itu.

Jika Akhyar memilih untuk menukar angin bersama JDT musim depan, ia dianggap keputusan tepat memandangkan juara Liga Super lima musim berturut-turut itu akan bertanding dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang mampu memberi pendedahan kepadanya.

Akhyar yang juga pemain skuad bawah 19 (B-19) dan B-23 tahun negara sememangnya menjadi tumpuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila sering tampil dengan aksi lincah dan turut merakam gol penting.

Malah, keserasiannya bersama dua lagi rakan sepasukan dalam skuad B-23, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad ketika Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu turut menjadi faktor perpindahan ke JDT yang mampu memberi nafas baharu kepada jentera serangan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Facebook JOHOR Southern Tigers (JST) baru-baru ini mengakui kelab itu akan ‘memborong’ lebih ramai pemain tempatan sebagai persediaan menghadapi saingan musim depan yang dijangka lebih mencabar. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan