Ahmad Syukri (tengah) menunjukkan laporan SPRM yang dibuatnya ke atas seorang Setiausaha Politik sebuah kementerian kerana didakwa melakukan rasuah.
Ahmad Syukri (tengah) menunjukkan laporan SPRM yang dibuatnya ke atas seorang Setiausaha Politik sebuah kementerian kerana didakwa melakukan rasuah.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Ab Razab membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini, berhubung dakwaan berlaku unsur rasuah oleh seorang Setiausaha Politik sebuah kementerian.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, beliau mendakwa, Setiausaha Politik berkenaan cuba menyogok perwakilan satu mesyuarat parti di Pahang 1 September lalu dengan projek bernilai kira-kira RM20,000 jika memilihnya sebagai Ketua Cabang dan memenangi jawatan kepimpinan pusat Keadilan.

Katanya, beliau mempunyai bukti jelas berdasarkan gambar mesyuarat dan rakaman audio yang diterimanya serta percaya lelaki itu adalah individu utama yang mengendalikan perjumpaan berkenaan.

“Mesyuarat ini dipercayai berlangsung pada 1 September lalu bertempat di satu lokasi di Pahang.

“Melalui bukti-bukti gambar mesyuarat dan rakaman audio yang diberikan kepada saya, saya percaya Setiausaha Politik di kementerian ini adalah individu utama yang mengendalikan mesyuarat berkenaan.

“Dalam mesyuarat itu, Setiausaha Politik berkenaan dikatakan telah menawarkan kontrak pembangunan atau pembaikpulihan infrastruktur yang bernilai kira-kira RM20,000 kepada pemimpin yang hadir dalam mesyuarat itu,” katanya.

Ahmad Syukri berkata, lelaki itu juga memaklumkan kepada anggota mesyuarat berkenaan bahawa beliau bakal mendapat peruntukan kira-kira RM300,000 dari sebuah kementerian lain yang perlu dihabiskan sebelum hujung tahun ini.

Sehubungan itu, katanya, penjawat awam itu meminta setiap pemimpin yang hadir dalam mesyuarat berkenaan membuat permohonan untuk mendapatkan kontrak yang dimaksudkan itu.

“Saya percaya tawaran ini dibuat ada kaitan dengan pemilihan PKR yang sedang berlangsung sekarang.

“Ini kerana Setiausaha Politik ini juga salah seorang calon bagi jawatan kepimpinan pusat Keadilan, selain turut bertanding jawatan Ketua Cabang di kawasannya.

“Oleh itu, saya mendapati individu ini telah menyalah gunakan kedudukannya sebagai penjawat awam,” katanya. – MalaysiaGazette