Zahida Zarik Khan
Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mempunyai sebab yang kukuh apabila membuat keputusan memboikot dengan tidak meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang dijadualkan 13 Oktober ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, antara sebab pemboikotan itu kerana peruntukan untuk PRK Parlimen kali ini amat besar, sedangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendakwa kedudukan kewangan negara agak tenat.

Selain itu, katanya, kerajaan PH juga menguar-uarkan hutang negara yang ditanggung juga agak tinggi, dan seeloknya mereka menggunakan peruntukan RM3.5 juta yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk PRK itu bagi kebajikan rakyat.

“Di saat kerajaan PH menyatakan kedudukan kewangan tenat, hutang negara tinggi dan sebagainya, eloklah duit RM3.5juta itu digunakan untuk kebajikan rakyat teramai.

“Lagipun, kekosongan kerusi Parlimen Port Dickson bukan disebabkan kematian penyandangnya seperti berlaku di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong baru-baru ini.

“BN tidak mahu melayan dan terlibat dalam percaturan nafsu politik pemimpin tertentu yang menyalah gunakan proses demokrasi dan saya juga terkejut dengan bekas pemimpin UMNO yang beriya-iya pertikaikan keputusan konsensus BN ini.. rindu agaknya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, BN sebulat suara memboikot PRK Parlimen Pirt Dickson dengan tidak meletakkan calon.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukan saja tidak letak calon, malah BN juga tidak akan mengerahkan sebarang jentera atau ahli sebagai menyokong mana-mana calon pembangkang atau bebas sekalipun.

Beliau menegaskan, keputusan itu bukan bermaksud BN enggan meraikan proses demokrasi, tetapi cara pengosongan kerusi itu tidak demokratik. – MalaysiaGazette

BN dan Pas Tidak Berminat Kerusi Port Dickson | Edisi MG 24 September 2018

TERKINI : “BN ‘BOIKOT’ PRK Port Dickson” – Zahid Hamidi

Tiga sebab UMNO tidak perlu letak calon di PD – Timbalan Presiden