Gelagat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Dialog Anak Muda dan Pelancaran Buku ‘A People’s History Of Malaysia’ di Corus Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2018.
Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2018.

SEREMBAN – Keputusan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sudah dijangka dan bukan satu kejutan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Beliau yang juga Pengerusi PKR negeri dan pengarah pilihan raya PRK itu berkata, ini memandangkan BN tidak mempunyai calon yang sesuai untuk diketengahkan melawan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita ucapkan berterima kasih kepada BN atas penarikan tersebut yang mana kita telah menjangkakannya pun di peringkat awal. Seperti yang saya maklum tempoh hari, kalau boleh tidak ada pilihan raya (bermaksud menang tanpa bertanding)… tetapi kita mengamalkan demokrasi yang masih memberi ruang kepada individu dan parti lain bertanding.

“Kami di peringkat negeri sudah bersedia dari semasa ke semasa supaya pilihan raya ini dapat dijalankan dengan lancar sekiranya ada pertandingan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14, di sini, pada Selasa.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata, parti itu akan memboikot serta tidak meletakkan calon pada PRK Parlimen Port Dickson dan keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan parti komponen iaitu MCA dan MIC.

Ahmad Zahid berkata, tindakan memboikot itu dilakukan kerana BN menganggap kerusi Parlimen berkenaan dikosongkan semata-mata bagi memenuhi cita-cita politik Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR.

Setakat ini, selain Anwar, dua parti iaitu Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong dan bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Kumar menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Port Dickson ialah Sabtu, 13 Oktober dan hari penamaan calon pada 29 September manakala hari pengundian awal pada 9 Oktober.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lepas untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas. – Bernama

Tinggalkan Jawapan