Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson bukan bermaksud parti itu takut untuk berhadapan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, BN tidak meletakkan calon adalah tindakan tepat untuk menghormati pilihan rakyat pada pilihan raya umum Mei lalu.

“Keputusan ini pada saya, bukan bermaksud BN takut kalah atau ingin memberikan laluan mudah kepada Anwar Ibrahim. Situasi ini tidak berbangkit sama sekali, malah kita menghormati dan menyanjung tinggi amalan demokrasi di negara ini.

“Namun sengaja mengadakan pilihan raya atas sebab menjayakan cita-cita peribadi seseorang adalah tidak wajar sama sekali,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah beliau, bukan sahaja menentang pembaziran wang berjuta ringgit, dalam masa yang sama UMNO memilih untuk memanfaatkan masa untuk memberikan perhatian bagi memperkasakan parti berbanding PRK yang diadakan demi Anwar mencapai cita-cita politiknya.

“Bagi saya, ketika ini UMNO lebih baik memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuhkan parti dan meningkat keyakinan pemimpin serta ahli parti seluruh negara.

“Melibatkan diri dalam Pilihan Raya Kecil di Port Dickson hanya menghilangkan tumpuan UMNO kepada perkara yang lebih penting,” tambah Shamsul.

Semalam Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan BN tidak akan meletakkan calon untuk dipertandingkan di Parlimen Port Dickson pada PRK 13 Oktober nanti.

PRK itu diadakan setelah penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding. -MalaysiaGazette