Azhari Shaari
Azhari Shaari

SHAH ALAM – Boikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bukan bermakna Barisan Nasional (BN) hendak memberi laluan mudah kepada calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, ia sebagai langkah berhati-hati yang diambil oleh pucuk pimpinan UMNO selepas terkena dengan episod ‘Langkah Kajang’ beberapa tahun lalu.

“Modus operandinya sama, penyandang kerusi meletakkan jawatan wakil rakyat semata-mata inginkan pemimpin mereka menjadi pemimpin nombor satu.

“Ketika itu panas dengan isu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bakal dilantik Menteri Besar Selangor, namun kesudahannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diangkat.

“Kali ini boleh dikatakan ‘Langkah Port Dickson’ pula memasuki carta politik dengan kaedah yang sama, iaitu penyandang dengan rela melepaskan jawatan yang diberikan rakyat kepadanya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Azhari, beliau tidak melihat kekuatan Anwar boleh longlai hanya kerana BN mahupun lain-lain calon menyainginya.

Katanya, apa yang menjadi penyebab utama BN tidak mahu bertanding disebabkan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) masih ‘merah’ lagi dan rakyat berdasarkan tiga PRK seakan tidak kisah walaupun Pakatan Harapan (PH) tidak komited melunaskan janji manifesto mereka.

“Bak kata pepatah ‘biarlah luncai terjun dengan labu-labunya’. Kos RM3 juta lebih untuk PRK Port Dickson ada baiknya digunakan untuk membantu masyarakat marhaen di negara ini.

“Sama ada Anwar menang atau sebaliknya, kos PRK yang terlibat sudah pasti semuanya akan hangus. Ini semua demi memenuhi tuntutan demokrasi.

“Kita berharap ahli kita tidak kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan untuk tidak bersaing di Port Dickson pada 13 Oktober ini. Ada baiknya kita gunakan masa kempen tersebut untuk mengadakan acara bersama rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau turut melontarkan persoalan, apakah perancangan yang akan Anwar lakukan bagi menggantikan kekosongan jawatan Perdana Menteri kurang dua tahun dari sekarang.

“Apakah penanda aras kepimpinan beliau? Adakah idea baharu atau sekadar mengikut telunjuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih kabur fungsi selepas Anwar mengambil alih.

“Sama-sama kita tunggu siapa lawan beliau kelak. Kita nantikan kejutan sama ada kerusi terbang atau ada episod lebih menarik,” katanya. – MalaysiaGazette